Monday, July 1, 2013

Mau kerja sebagai cigukah?


KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) tidak bersetuju dengan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memansuhkan jaminan jawatan secara automatik kepada guru pelatih Institut Latihan Perguruan (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertujuan untuk memastikan hanya guru terlatih terbaik ditawarkan ke jawatan berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden KGBS Ahmad Malie dengan mencadangkan agar KPM melakukan kajian secara terperinci dan menyeluruh tentang impak pelaksanaan cadangan ini secara ‘ad-hock’ agar tidak timbul isu lain.

“Apatah lagi pada masa kini jumlah guru masih berkurangan sekiranya kuota guru satu kepada tujuh yang dipersetujui sebelum ini dilaksanakan secara sepenuhnya kelak.

“Faktor lain KGBS menolak langkah ini adalah kerana ia berkemungkinan akan menjejaskan kualiti guru pelatih yang dikeluarkan oleh IPG atau IPTA ekoran IPG dan IPTA berlumba-lumba mengeluarkan guru pelatih  yang cemerlang sedangkan mutu kecemerlangannya masih boleh dipersoalkan,” katanya dalam satu sistem pesanan ringkas semalam.

Beliau yang juga setiausaha CUEPACS Negeri turut menambah, setakat ini tidak terdapat kayu pengukur setara yang digunakan oleh IPG atau IPTA untuk menentukan kecemerlangan seseorang guru pelatih.
“Pelaksanaan penilaian IPG atau IPTA tidak sama seperti keputusan peperiksaan SPM.

“Justeru, KGBS menggesa langkah utama yang perlu dipertimbangkan oleh KPM ialah melihat sistem penilaian yang standard yang akhirnya kesahan dan akauntabiliti penilaian IPG dan IPTA diakui semua pihak bagi mengelakkan prejudis,” ujarnya.

Dalam pada itu, KGBS menegaskan bahawa usaha ini tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tetapi memerlukan kajian mendalam.
Pihaknya merasakan pelaksanaan itu boleh diguna pakai dalam jangka lima tahun akan datang setelah sistem penilaian yang dicadangkan mantap dan berkesan.

Beliau menjelaskan bahawa KGBS khuatir  guru-guru pelatih akan menjadi ‘mangsa’ sistem sekiranya sistem yang diguna pakai kelak tidak mempunyai kesahan dan akauntabiliti yang kukuh dan jitu.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih.

Pre-university blog