Saturday, August 27, 2011

Kolokium ke-2 pra universiti SMK Tambunan


Kolokium hasil kajian  pra universiti SMK Tambunan tahun 2011 telah berlangsung pada 26 Ogos 2011 bertempat di dewan besar Datuk Anthony Gibun. Sebanyak 16 daripada 18 pasukan kajian berjaya membentangkan hasil kajian masing-masing. Panel penilai terdiri daripada pensyarah berkaliber seperti En. Mudin Sipin, En. Larry Charles, En. Mathew Gunasip, En. Clarence Joseph G, Pn. Ann Doreen Doral dan Pn. Jessie Girik. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada para panel penilai.
        
Kajian merangkumi isu-isu berkaitan dengan sekolah seperti isu akademik, disiplin dan kokurikulum. Terdapat juga kajian yang mengkaji tentang amalan berpasangan atau lebih dikenali sebagai cinta monyet dalam kalangan pelajar sekolah. Secara keseluruhannya hasil kajian pada kali ini lebih berkualiti jika dibandingkan dengan hasil kajian pada tahun lepas. Walau bagaimanapun, kajian pada tahun lepas juga tidak kurang bermutu sungguhpun julung-julung kali diadakan.


Pada akhir kolokium ketua panel penilai iaitu En. Mudin Sipin telah sudi menyampaikan rumusan terhadap prestasi kolokium pada kali ini. Menurut dapatan panel penilai didapati bahawa terdapat beberapa perkara yang wajar diberi perhatian samada oleh pembentang mahupun audien. Pembentang terdiri daripada pelajar-pelajar pra-universiti senior manakala audien ialah para pelajar pra-universiti junior. Antara aspek yang memerlukan penambahbaikan ialah:
a. Keyakinan semasa membentang
b. Kaedah perbincangan terhadap dapatan kajian
c. Cadangan-cadangan kajian
d. Pemilihan sampel

Pengalaman menjalankan kajian di peringkat pra-universiti ini sememangnya akan sangat berguna apabila pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Para pelajar pra-universiti junior pada tahun ini juga mendapat pendedahan awal mengenai program kolokium dan penyelidikan di peringkat pra-universiti ini.

Semasa kolokium, Kordinator Pra Unviersiti SMK Tambunan iaitu En. Jenius Gadiman memberi maklumat awal kepada pelajar pra-universiti junior bahawa kajian mereka kelak akan dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Sungguhpun demikian, pihak pra universiti masih dalam peringkat perbincangan khususnya dengan para pensyarah MUET.



Diucapkan tahniah dan semoga kolokium seperti ini telah dapat memberi pendedahan bermanfaat kepada semua pelajar terutama sekali pelajar pra universiti senior yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi selepas STPM. 

Pre-university blog