Monday, September 30, 2013

GMO ?


Protokol Cartagena lindungi kesan negatif bioteknologi
Tuesday, 24 February 2004
Berita Harian

KUALA LUMPUR: Dunia perlu menerima Protokol Cartagena sebagai satu perjanjian antarabangsa mengenai keselamatan biologi, bertujuan melindungi pengguna, khususnya membabitkan organisma atau makanan yang diubah suai secara genetik (GMO atau LMO).

Protokol itu bukan saja berperanan menyeragamkan undang-undang dan prosedur mengenai pergerakan GMO, malah membolehkan negara anggota, terutama yang tidak mempunyai undang-undang mengenai keselamatan biologi, mendapat maklumat dan membuat keputusan tepat berhubung pengimportan GMO ke negara masing-masing.

Presiden Mesyuarat Parti-parti Kepada Protokol Cartagena Mengenai Keselamatan Biologi Pertama (MOP-1), Datuk Seri Law Hieng Ding (gambar), berkata protokol itu penting bagi melindungi kepentingan pengguna daripada produk yang dihasilkan teknologi biologi moden.

Beliau berkata, walaupun bioteknologi berpotensi membawa perubahan positif kepada kehidupan manusia sejagat, ia juga dikatakan mempunyai kesan negatif kepada kesihatan manusia, ekosistem dan alam sekitar.

“Isu GMO sering diperdebatkan antara mereka yang memihak dan menentang bioteknologi ini. Ia mungkin selamat, mungkin juga tidak, namun apa yang pasti teknologi ini berpotensi menghasilkan gabungan genetik baru.

“Dengan pengalaman yang terhad mengenainya, sudah pasti kita perlu mewujudkan undang-undang di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya berucap merasmikan MOP-1, di sini semalam. Kira-kira 1,000 delegasi daripada 86 negara anggota protokol berkenaan menyertai mesyuarat yang diadakan buat julung kali sejak ia dikuatkuasakan 11 September tahun lalu. Malaysia meratifikasi protokol berkenaan pada 3 September tahun yang sama.

Protokol berkenaan diterima negara anggota pada Januari 2000 sebagai antara perjanjian kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD). MOP-1 yang akan berlangsung sehingga 27 Februari itu diadakan selepas negara anggota CBD bermesyuarat selama dua minggu di ibu kota sejak 9 Februari lalu.

Law yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bagaimanapun mengakui pelaksanaan protokol itu satu cabaran besar, khususnya kepada negara membangun kerana ia membabitkan isu baru kepada kebanyakan negara.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat berkenaan bertanggungjawab menjelaskan mengenai keperluan protokol itu supaya ia dapat difahami dan dilaksanakan di negara berkenaan. “Mesyuarat ini berperanan memberi petunjuk dan garis panduan bagi menjayakan protokol ini. Mesyuarat yang diadakan ini bukan bertujuan untuk merundingkan isi kandungan protokol,” katanya.

Sementara itu, wakil Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unep), Ahmed Djoghlaf, berkata kejayaan protokol itu akan ditentukan kerjasama erat antara negara anggota serta antara kerajaan dan sektor swasta.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih.

Pre-university blog