Wednesday, June 18, 2014

universiti awam Malaysia turut gagal tersenarai dalam 100 universiti terbaik







Universiti di Malaysia tidak tersenarai dalam ranking Times Higher Education Asia University 2014, sekali lagi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia terkeluar daripada senarai itu pada tahun ini. Gambar fail The Malaysian Insider.
Kejatuhan Malaysia dalam ranking universiti awam global berterusan, kali ini dalam Times Higher Education Asia University 2014 yang dikeluarkan hari ini di mana tiada universiti tempatan masuk dalam senarai 100 terbaik.
Lima universiti yang masuk dalam senarai 10 universiti Asia terbaik adalah – Jepun, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China. India meningkat kedudukannya apabila 10 daripada institusinya masuk dalam senarai 100 terbaik berbanding hanya tiga tahun lalu.
Negara timur tengah seperti Iran, Israel, Lubnan, Arab Saudi dan Turki turut tersenarai.
Thailand turut berjaya, “tetapi tiada tempat bagi Malaysia”, yang dianggap oleh Times Higher Education sebagai negara Asia Tenggara yang mempunyai industri pengajian tinggi besar.
Universiti Kebangsaan Malaysia yang berada di tempat 87 tahun lalu terkeluar dalam senarai tahun ini.
Universiti Tokyo menjadi universiti Asia terbaik diikuti oleh Universiti Kebangsaan Singapura.
Universiti Hong Kong, Universiti Kebangsaan Seoul dan China Peking Universiti berada di tempat ketiga, keempat dan kelima.
Thailand mempunyai dua universiti yang masuk dalam senarai iaitu King Mongkut’s University of Technology, Thonburi yang naik lima anak tangga dan berada di kedudukan ke-50 dan Universiti Mahidol – jatuh 21 anak tangga ke tempat 82.
Singapura juga mempunyai dua universiti yang masuk dalam senarai iaitu NUS di tempat kedua dan Nanyang Technological Universiti di tempat ke-11.
Hong Kong dinamakan sebagai bintang oleh THE kerana walaupun bersaiz kecil tetapi mempunyai enam universiti dalam senarai 50 terbaik.
Pada April, universiti awam Malaysia turut gagal tersenarai dalam 100 universiti terbaik Times Higher Education bagi universiti di bawah 50 tahun.
Empat universiti Asia yang berjaya masuk dalam senarai 10 universiti “muda” terbaik dunia termasuk Pohang University of Science and Technology Korea Selatan yang mendapat tempat teratas, Hong Kong University of Science and Technology (4) dan Nanyang Technological University, Singapore (5).
Malaysia gagal untuk tersenarai bagi tahun kedua. Dalam ranking pertama pada 2012, Universiti Kebangsaan Malaysia berada di tempat ke-98.
Malaysia turut gagal tersenarai dalam ranking Reputasi Dunia Times Higher Education – yang dikeluarkan pada Mac, berada di belakang negara Asia Tenggara lain.
Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan kemerosotan kedudukan universiti awam di Malaysia bukan menggambarkan keseluruhan pencapaian universiti sebaliknya proses pembelajaran perlu diutamakan.
Menteri pendidikan II itu berkata, universiti awam di Malaysia masih dalam lingkungan usia yang muda dan pencapaian ditetapkan perlu berada pada tahap realistik.
"Ranking tidak menggambarkan segalanya tetapi kita boleh tingkatkan. Kita perlu realistik dalam mencapai kedudukan,” katanya.
Kegagalan demi kegagalan ini menyebabkan pihak pembangkang mengkritik kerajaan.
Kementerian Pendidikan menerima RM38.7 bilion pada 2013 dan ditingkatkan kepada RM54 bilion tahun ini, bajet terbesar yang pernah diterima dalam sejarah kementerian itu. – 19 Jun, 2014.
- See more at:http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/malaysia-gagal-lagi-masuk-senarai-100-universiti-awam-terbaik-asia#sthash.Hf5WqJjp.dpuf


No comments:

Post a Comment

Terima kasih.

Pre-university blog