Tambunan, 1 Julai 2014:- Kampus Prauniversiti SMK Tambunan sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memulakan pemakaian kasual bukan seragam dalam kalangan pelajarnya. Dalam ucapan awal sebelum itu, Penolong Kanan Tingkatan 6 Pn. Esther Linus menegaskan bahawa langkah berani ini adalah demi meningkatkan martabat dan motivasi pelajar prauniversiti. Tindakan yang selaras dengan arahan Kementerian Pelajaran Malaysia ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja oleh kalangan pelajar bahkan oleh para pensyarah prauniversiti kampus tersebut. Penguatkuasaan terhadap pemakaian tersebut dilaksanakan berlanjutan daripada galakan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip. Pengarah JPN Sabah telah merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Tambunan seminggu sebelum itu (25 Jun 2014). Dalam ucapannya, Datuk Jame Alip menegaskan agar arahan berkaitan pengurusan Tingkatan 6 dikuatkuasakan segera.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar En. Lary Charles dalam ucapan ulungnya turut menegaskan dan mengingatkan agar pelajar mengambil peluang tersebut untuk melonjakkan lagi kematangan diri, dan bukannya memperlihatkan 'kemajuan' imej luaran fizikal semata-mata. Pelajar perlu berusaha tekun untuk meningkatkan kemenjadian diri sendiri, meningkatkan kualiti peribadi agar bersedia menyahut cabaran global yang semakin mencabar.
Dalam pemerhatian, didapati bahawa lebih separuh daripada pelajar prauniversiti SMK Tambunan telah memakai pakaian kasual manakala selebihnya masih berpakaian seragam seperti sebelum ini. Kod dan etika pemakaian yang dibenarkan juga dipenuhi sebaik-baiknya oleh pelajar. Sungguhpun demikian, terdapat juga segelintir kecil pelajar yang tidak mengikut kod pemakaian namun didapati disebabkan oleh ketidakfahaman dan kekeliruan terhadap cara pemakaian tersebut.
Semoga langkah hebat seperti ini mampu melonjakkan keperibadian insan dalam kalangan pelajar prauniversiti khasnya dan seluruh warga sekolah SMK Tambunan amnya.
Pengetua: En. Ting Sien Kuan
PK1 (Perdana): En. Sofrie Anwar
PK2 (Perdana): En. Jaidi Karim
PK3 (Perdana): En. Yasimin Basir
Penolong Kanan T6 (Prauniversiti): Puan Esther Linus
Penolong Kanan HEP: En. Lary Charles
Penolong Kanan Kokurikulum: En. Clarence Joseph
MENJANA MODAL INSAN BERKUALITI
Kombura: Hubungan dan kerjasama dengan pihak luar perlu diperluaskan lagi demi menjadikan kampus prauniversiti sebagai institusi yang lebih berprestij tinggi.