Tuesday, July 2, 2013

Pemerdagangan Manusia


Rencana : Jenayah Pemerdagangan Manusia

Kes 1 :  DERITA KANAK-KANAK MANGSA PEMERDAGANGAN

LINA (bukan nama sebenar) baru berumur lapan tahun. Pada usia tersebut, dia sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, bergaul bersama rakan-rakan sebaya, bermain dan mengulang kaji pelajaran. Namun nasib Lina tidak seindah yang dilalui kanak-kanak seusianya. Dia melalui hari-hari yang gelap sejak beberapa bulan lepas setelah dijual bapanya sendiri kepada pihak ketiga yang kemudian memperdagangkan dirinya untuk tujuan seks.

Setiap hari, Lina yang berasal dari sebuah kawasan di Selangor, dipaksa bekerja dengan memberi perkhidmatan seks kepada lelaki yang boleh dipanggil abang, bapa atau datuk kepadanya. Dia, yang dikawal oleh lelaki yang dipanggil ‘uncle’, tidak mengerti dengan apa yang sedang dilaluinya dan kenapa diperlakukan sebegitu apatah lagi untuk memahami akan haknya sebagai seorang kanak-kanak.

Mungkin ramai yang tidak sedar, kes sebegini berlaku dalam masyarakat kita. Realitinya, kisah Lina hanyalah secubit kisah daripada kehidupan sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Jika kita beranggapan, isu pemerdagangan kanak-kanak hanya berlaku di negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, ia adalah silap kerana sebenarnya jenayah tersebut turut berlaku dengan meluas di negara ini.

Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez dalam temubual sebelum ini menyatakan ramai kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa kes seumpama telah diselamatkan dari negara seperti Kanada, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat. Malaysia kini bukan sahaja dijadikan sebagai negara transit malahan mengeksport dan terlibat dengan negara destinasi untuk aktiviti pemerdagangan.

Menurut statistik, antara Februari 2008 hingga October 2010, sebanyak 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di sekitar negara Asia.

Kenapa kanak-kanak?

Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak.

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.

Kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan jenayah melangkaui sempadan yang berlaku di merata negara di dunia ini diangkat menjadi isu global yang ditangani secara serius di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.

Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Pengutip Dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr. Hartini Zainudin berkata, kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental.

Beliau yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak terutama di Chow Kit berkata, banyak faktor yang mendorong kanak-kanak mudah terjerat hingga bersetuju untuk dibawa pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui yang mereka akan dieksploitasi.

Ada sebahagian mereka percaya dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Namun ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual.

“Sekarang memang penjualan bayi yang kita nampak menonjol. Mereka yang tidak punya anak biasanya akan membeli bayi itu tanpa diketahui latar belakang mereka. Menjadi satu kebimbangan jika perkara ini tidak dibendung kerana mereka yang mampu boleh membelinya. Perkara ini akan berterusan kerana cuba kita lihat berapa ramai yang mengandung anak luar nikah, wanita yang tidak mempunyai dokumen diri, wanita yang tidak diketahui warganegaranya yang menyebabkan mereka tidak tahu di mana harus diletakkan bayi tersebut, jadi jalan paling mudah adalah dengan menjualnya,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai dokumen, kerana tidak diketahui asal-usul. Namun yang menjadi fokusnya kini ialah kanak-kanak yang diperdagangkan untuk komersial antaranya dijadikan pelacur, peminta sedekah, mahupun keldai dadah dan aktiviti jenayah lain.

Sumber: Utusan Malaysia, 17 Mei 2011


Kes 2 :   WANITA MANGSA EKSPLOITASI PENGEDARAN DADAH

INILAH gadis-gadis Malaysia yang pernah ditahan di luar negara akibat diperdaya menjadi keldai dadah.
ISU penyeludupan dadah bagaikan tiada penghujungnya. Lebih malang, sudah ramai wanita tempatan diperdaya, kebanyakannya oleh kekasih warga Afrika mereka di Malaysia, untuk menyeludup dadah ke luar negara. Setiausaha Kerja Penyelidikan dan Pemantauan Program, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Zuriah Abu Bakar, 48, berkata pendapatan berniaga dadah memang lumayan. Sekilogram dadah boleh memberi pulangan sehingga RM1.8 juta kepada pengedarnya.

“Dengan wang sebanyak itu, manusia boleh hilang pertimbangan dan sanggup menjadi keldai dadah,” bicaranya sambil mendedahkan kebanyakan keldai dadah tahu mereka sedang digunakan.

Australia, China, Brazil, Peru, Argentina dan Jepun ialah antara destinasi penyeludupan dadah yang sering dikaitkan dengan gadis rakyat Malaysia.

Kaedah

Bagaimanapun, Zuriah mengakui masih ramai wanita tempatan diperdaya oleh warga asing untuk melakukan kerja kotor itu. Terdapat lebih 100 orang wanita Malaysia telah ditahan di luar negara gara-gara menjadi keldai dadah setakat ini.

“Perkara yang membimbangkan adalah hanya satu daripada sepuluh kes rakyat kita ditangkap di luar negara benar-benar diperdaya. Selebihnya mereka sedar, tahu dan mengakui tindakan mereka menyeludup dadah ke negara asing,” ulasnya.

Menurut Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), sebuah badan bebas pemantauan kuasa undang-undang, semakin ramai wanita muda di Asia menjadi mangsa sindiket berkenaan. Berdasarkan statistik tersebut, pengedar dadah kini giat menggunakan laman web sosial untuk menarik perhatian wanita di Asia Tenggara untuk bekerja sebagai keldai dadah di negara-negara di timur dan Asia Tenggara.

Kuasa yang dimiliki oleh bahan kimia yang asalnya bertujuan merawat kesakitan itu bagaimanapun mampu mengubah individu menjadi tamak. Oleh hal itulah, dadah kini disembunyikan di dalam kasut, pakaian, beg, barangan kraf tangan, alatan elektronik dan kenderaan.

Ini termasuk kaedah mencairkan dadah dalam rebusan air sebelum dicelupkan pakaian dan dibiarkan hingga kering. Menurut Zuriah, apabila individu yang membawa dadah dalam bentuk terlarut pada fabrik tiba di destinasi yang disasarkan, pakaian tersebut akan diproses menggunakan aplikasi penyulingan untuk mengumpulkan kembali kandungan dadah yang melekat pada fabrik berkenaan.

Telan

“Buktinya, seorang gadis warganegara Filipina sebelum ini pernah ditangkap ketika cuba menyeludup dadah ke Malaysia dengan cara mencelupkan pakaian dan tuala ke dalam cecair sebatian dadah sebelum datang ke negara ini,” jelasnya.

Malah, demi wang, keldai dadah sanggup mengorbankan diri sendiri asalkan bahan itu berjaya diseludup.

"Selain melekatkan pek dadah di badan, contohnya untuk menampakkan seseorang wanita sedang mengandung, dadah juga dilekatkan pada anggota tubuh lain seperti punggung dan belakang sehingga individu berkenaan kelihatan berbadan gempal. Mereka juga rela menelan dadah yang berupaya membunuh diri mereka sendiri sekiranya pembalut dadah berkenaan pecah di dalam usus,” ujar Zuriah.

Beliau memberi contoh kes seorang gadis berasal dari Pulau Pangkor, Perak yang menelan 25 pek dadah yang telah disumbat ke dalam kondom tetapi dapat dikesan pihak berkuasa Australia. Jelas Zuriah lagi, sehingga bulan September tahun lalu seramai 1,597 rakyat Malaysia ditahan di negara luar dan kebanyakan mereka disabitkan kesalahan menyeludup dadah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 150 orang yang ditangkap adalah wanita iaitu 62 wanita Melayu, 58 Cina dan 28 India. Statistik yang dikumpulkan oleh Pemadam turut mendapati seramai 127 orang wanita Malaysia ditahan di 37 negara sehingga tahun 2007. Dari segi taraf pendidikan, individu yang ditangkap terlibat dengan penyeludupan dadah kebanyakannya berpendidikan tinggi.

“Selalunya wanita yang terjerat adalah berilmu dan memiliki kelulusan tinggi seperti diploma dan ijazah. Mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah. Namun, ahli sindiket dadah sering menyasarkan wanita yang personalitinya pendiam, menikus dan pasif untuk dijadikan keldai dadah,” katanya.

Nasihat Zuriah, teman baik mungkin menjadi musuh seseorang dan tidak mustahil ia mampu mengheret ke kancah penderitaan seumur hidup.

“Apabila kita terlalu rapat dengan seseorang, segala kebaikan dan kelemahan kita diteliti dengan sempurna dan ini dijadikan senjata untuk menikam semula kita dari belakang,” katanya.

Selain itu, usul Zuriah, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam mengawal pergerakan anak-anak.

“Komunikasi adalah perisai utama untuk mengukuhkan struktur kekeluargaan. Jika kita ditawarkan pekerjaan di luar negara seharusnya perlu dimaklumkan kepada ibu bapa dan ahli keluarga terlebih dahulu,” nasihat Zuriah.

Sumber: Kosmo, 27 April 2011


Definisi Mengikut Perundangan Jenayah Pemerdagangan Orang

Negara Sumber
Negara di mana orang yang didagangkan itu berasal. Ia menjadi tumpuan sindiket untuk mencari individu atau kumpulan manusia yang akan menjadi mangsa mereka.

Negara Destinasi
Negara penerima atau Negara yang dituju oleh sindiket untuk membawa mangsa mereka.

Negara Transit
Negara yang digunakan sebagai laluan oleh sindiket untuk membawa mangsa
mereka sebelum tiba ke negara destinasi. Ia sama ada menggunakan jalan darat,
laut mahupun udara.

Apakah Kaedah Atau Laluan Yang Digunakan?

 Udara
 laut
 darat


3 Elemen Dalam Pemerdagangan Orang

a)Aktiviti

 Perekrutan
 Pengangkutan
 Pemindahan
 Perlindungan
 Penerimaan

b)Cara

 Ancaman
 Paksaan/Kekerasan
 Pemelarian
 Perdayaan
 Pemalsuan Dokumen
 Penculikan
 Penipuan
 Penyalahgunaan Kuasa
 Memberi/Menerima
 Bayaran

c)Tujuan

 Perhambaan
 Pengabdian
 Pemindahan Organ
 Kerja/Perkhidmatan Paksa
 Eksploitasi Seks/Pelacur



Pemerdagangan orang

“pemerdagangan orang” ertinya segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang bagi maksud Akta ini; ’; dan

Penyeludupan Migran

“penyeludupan migran” ertinya:

(a) mengatur, memudahkan atau merancang, secara langsung atau tidak langsung, kemasukan seseorang secara tidak sah ke dalam atau melalui, atau pengeluaran seseorang secara tidak sah dari mana-mana negara yang orang itu bukan warganegara atau pemastautin tetap sama ada dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemasukan atau pengeluaran orang itu adalah tidak sah; dan

(b) merekrut, mengangkut, memindahkan, menyembunyikan, melindungi atau menyediakan apa-apa bantuan atau perkhidmatan bagi tujuan melaksanakan perbuatan yang disebut dalam perenggan (a);'.


Bentuk-bentuk Pemerdagangan orang dan penyeludupan migran

hospital-swasta-jual-bayi Salah satu mangsa pemerdagangan bayi

• Eksploitasi Seks
Eksploitasi seks adalah jenayah paling kerap berlaku dalam pemerdagangan orang. Mangsa biasanya dijanjikan pekerjaan bergaji lumayan dan dibawa masuk secara sah ataupun diseludup secara haram. Namun akhirnya, mangsa ditipu dan dipaksa melacurkan diri. Mereka dikawal dengan ketat dan seringkali turut terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

• Buruh Terikat
Mangsa yang diseludup secara haram dipaksa melakukan kerja melampaui keupayaan dan sekiranya mangsa menolak akan diugut diserahkan kepada pihak berkuasa. Mangsa akan dimanipulasi sepenuhnya dan berada di bawah pengawasan ketat. Biasanya akan didera dan tidak dibayar gaji.

• Pengabdian Domestik Secara Paksa
Mangsa ialah pekerja -pekerja domestik yang dipaksa bekerja di tempat yang tidak formal dan tidak diberi bekerja dengan pekerja yang lain. Migran asing, biasanya wanita dan kanak-kanak direkrut dari negara-negara yang kurang membangun seperti Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin. Wanita diarah bekerja sebagai pembantu rumah dan pengasuh manakala kanak-kanak akan dijadikan buruh atau pengemis. Mangsa akan ditempatkan di negara-negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat, Singapura, Taiwan dan Malaysia.

• Permindahan Organ
Pemindahan organ merupakan salah satu dari aktiviti pemerdagangan orang. Organ kebanyakannya diperoleh dari negara-negara miskin dan mundur. Kegiatan ini melalui cara mengeksploitasi mangsa di dalam negara ataupun yang
diseludup secara haram. Ia memberikan keuntungan yang tinggi di peringkat antarabangsa. Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dianggarkan 10 peratus dari 70,000 buah pinggang yang dipindahkan setahun mungkin berasal dari pasaran gelap.

• Pemerdagangan Bayi
Bayi yang dijual di pasaran gelap juga memberikan pulangan yang lumayan kerana permintaannya yang tinggi (contohnya di Malaysia, bayi dijual dari harga RM10,000 hingga RM20,000 seorang). Bayi yang diperdagangangkan biasanya diculik, diseludup atau dibeli oleh individu atau kumpulan yang terlibat dengan sindiket ini. Bayi mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran gelap. Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama ILO telah mengadakan simposium untuk mewujudkan kesedaran dan sasaran mereka untuk majikan-majikan yang menyediakan pekerjaan kepada pekerja-pekerja asing. Pada tahun 2008, pemeriksaan telah dilakukan ke atas 50,518 majikan dan sebanyak 15,376 majikan beserta pekerja asing mereka yang terlibat. Tindakan telah diambil untuk menguatkan lagi proses dan prosedur pengambilan pekerja-pekerja asing dan untuk mengurangkan permintaan terhdap pekerja asing ini.

Sumber daripada : Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Disember 2010

No comments:

Post a Comment

Terima kasih.

Pre-university blog