Sunday, May 13, 2018

Kiulu terus maju


Titipan sempena PRU14, 9.5.2018:

Kopisanangan.

KHC (Ulu Kiulu Tuaran) yang mempunyai sekurang-kurangnya 7 kampung utama menyediakan cabaran hebat kepada sesiapa sahaja wakil rakyat (P170 & DUN N11) untuk memajukan segala aspek sosio ekonominya. 
Kedudukan KHC di pinggir Banjaran Crocker dengan mencapai altitud lebih daripada 1001 meter, kecuraman melebihi 17% di kebanyakan kawasan dan dengan hujan turun sepanjang tahun serta suhu yang mencapai 16 darjah celcius, merupakan antara cabaran dan potensi besar yang perlu diambil diambilkira dalam pelan perancangan pembangunan kawasan tersebut.
Infrastruktur jalan raya, pusat komuniti dan kemudahan infostruktur (kemudahan menara telco) adalah antara yang telah tersedia dalam sesetengah kawasan ini. 
Selain projek-projek konvensional ini, kawasan KHC kini sudah mengorak langkah ke arah aktiviti sosial dan ekonomi baharu. Umpamanya adalah aktiviti ekonomi berasaskan agro-pelancongan. Ahli komuniti KHC kini menghasilkan produk-produk baharu dan diperbaharui secara lebih kreatif contohnya produk tanaman mulbery dan apiari.

INOVASI KOMUNITI INI TELAH DIMUDAHCARAKAN OLEH WAKIL RAKYAT SEKARANG YANG DIPILIH DALAM PRU13 LEPAS. 

Selepas hari pengundian PRU14 esok (9.5.2018) pastinya semua ahli komuniti KHC telah mencongak anjakan peningkatan sosioekonominya, dengan meletakkan harapan pemudahcaraan daripada bakal WAKIL RAKYAT ADUN DAN PARLIMEN yang akan dimuktamadkan selepas jam 12 tengah malam esok!

Sesiapa pun wakil rakyat yang dihasilkan oleh PRU14 ini, rakyat KHC mendambakan fasilitasi terhadap pelbagai isu. Antaranya:-
1. Merealisasikan pengiktirafan terhadap tanah adat warisan datuk-nenek-moyang di seluruh kawasan KHC;
2. Meningkatkan kemudahan infrastruktur dan infostruktur di seluruh KHC;
3. Meningkatkan inovasi dan kreativiti ekonomi berasaskan sumber setempat di KHC seperti pelancongan budaya, geo-tourism, agro-tourism.
(Dan isu-isu lain)

Kemajuan sosioekonomi ini akan memacu kepada peningkatan taraf dan kualiti pendidikan seluruh ahli komuniti KHC, seterusnya meletakkan taraf hidup mereka (kami) pada tahap lebih makmur, harmoni dan sejahtera.
Kombura
8.5.2018
Tuaran

Tuesday, July 11, 2017

Persatuan Tingkatan 6 Sementa...

Perhimpunan Rasmi prauniversiti Sementa, 11.7.2017
1. RAJIN
Setiap pelajar wajar mengamalkan sikap rajin dalam segala perkara, dalam kehidupan di dunia yang fana ini. Memetik kata-kata Tn Joanes Akim, Penyelaras Unit Kokum, antara contoh rajin ialah rajin menelaah pelajaran, rajjn membantu ibu bapa dan ahli keluarga, rajin dalam segala perkara termasuklah berdoa kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.
2. Insentif berupa hamper disampaikan kepada semua kelas prauniversiti sempena penganjuran program hari raya aidilfitri peringkat kampus prauniversiti Sementa.
3. Majlis Perwakilan Pelajar prauniversiti Sementa dibubarkan secara rasminya dan digantikan kepada Persatuan Tingkatan Enam Sementa. Urusetia Disiplin diwujudkan dalam kalangan pelajar demi membantu pemerkasaan aspek sahsiah disiplin dalam kampus.
Simbolik ringkas dibuat sempena peralihan bersejarah ini. 
4. Pelajar perlu 'alert' dengan perkembangan semasa dalam dan luar kampus.
PRAU SEMENTA
MENJANA MODAL INSAN BERKUALITI.
En. Lary Charles, Penyelaras HEP PT6 SMK Tambunan


more photos: FB: Pre-USS @ Preuniversity Sementa Society https://www.facebook.com/groups/166216413424131/




Wednesday, March 29, 2017

KOAS ke-61 DVCA

Lahad Datu, 24.3.2017:- Seramai 2 orang ahli berdaftar Kelab Pencinta Alam Sabah (KPAS) Prauniversiti SMK Tambunan telah berjaya mengikuti dengan jayanya Kursus Orientasi Alam Sekitar (KOAS) anjuran Unit Konservasi Yayasan Sabah, Kota Kinabalu. Mereka ialah adii Hilda Jaynisa Godwin dan adit Alleysa Alphonsus. Kursus KOAS berlangsung selama 5 hari dari 20 Mac hingga 24 Mac dengan melibatkan 25 peserta dari seluruh Sabah yang terdiri daripada murid dan 4 orang guru. KOAS tersebut dijalankan di Danum Valley Conservation Area (DVCA).

Dalam ucapan perasmian penutupan, Pengurus DVCA iaitu En. Jikos Gidiman merakamkan penghargaan dan tahniah kepada penganjur serta peserta. Beliau menyeru agar kursus kesedaran alam sekitar sedemikian rupa terus dijalankan pada masa hadapan. Beliau turut menggesa para pelajar agar sentiasa mengambi bahagian dalam program-program berkaitan dan berharap supaya ada dari kalangan mereka yang akan terlibat secara langsung sebagai fasilitator program serupa pada masa hadapan.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan di sepanjang program seperti aktviti 'bird watching', 'nature trail', latihan dan perbincangan dalam kumpulan, simulasi dan sebagainya. Peserta juga berpeluang melihat secara ''live' hidupan liar seperti monyet, burung, gajah, rusa dan macam-macam lagi.

Lembah Danum, Imbak Canyon, Meliau Basin dan Persisiran Silam adalah antara lokasi pelaksanaan kursus KOAS.
















Tuesday, February 28, 2017

Christy catat sejarah STPM 2016!

Tambunan, 28.2.2017:-

          Christy Cassandra George mencatat sejarah apabila berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Tahun 2016. Beliau yang melanjutkan pengajian di Pusat Tingkatan 6 Mod 2 SMK Tambunan berjaya mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Seni Visual dan Sains Sukan, dengan purata gred 4.00.

Christy merupakan seorang pelajar yang sangat rajin dan aktif terlibat dalam program-program dalam dan luar bilik darjah. Selain sentiasa menyiapkan tugasan yang diberi, Christy juga amat rajin membuat latih tubi sendiri dan dihantar kepada guru untuk diperiksa dan dibuat penambahbaikan.

Diucapkan syabas dan tahniah kepada Christy Cassandra George! Semoga sukses dalam apa jul bidang yang diceburi.

Kegigihan dan pencapaian beliau pasti menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk berjaya dalam pelajaran.


Christy menerima Sijil Kecemerlangan daripada Pengarah Pendidikan Sabah pada 28.2.2017.






Christy bersama dengan bunya serta Pengetua SMK Tambunan, PK T6 dan PPD Tambunan.


Wednesday, September 7, 2016

Bengkel Pengajian Am 2016

Program Ceramah & Teknik Menjawab Soalan dan Kuiz Mingguan Pelajar Prauniversiti Junior Subjek Pengajian Am P1 & P3 Tahun 2015
Prauiversiti SMK Tambunan Sabah

Tarikh: 7 – 8 Sept. 2016
Tempat: Mini Dewan Prauniversiti
Sasaran: Semua Pelajar Senior dan Junior
Anjuran: Jabatan Pengajian Am
Pensyarah: Puan Jane Midianah Dautis, Pn. Naly Upang, En. Johny Dakun, En. Roger Kimon & En. Jenius Gadiman


Objektif:
1.     Mendedahkan pelajar dengan teknik menjawab soalan peperiksaan STPM semaksimum yang boleh untuk pelajar memperkasakan persediaan diri menduduki peperiksaan.
2.     Memahami konsep dan kemahiran teknik menjawa soalan peperiksaan.
3.     Memberi pendedahan tentang kemahiran kognitif, insaniah (soft skills) dan kemahiran berfikir aras tinggi.
4.     Memberi motivasi kepada pelajar untuk lebih giat berusaha untuk meningkatkan prestasi subjek Pengajian Am khususnya.
5.     Mewujudkan suasana persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar.
6.     Meningkatkan prestasi kelulusan subjek Pengajian Am.

Antara pengisian program ialah ceramah, bengkel menjawab soalan, pertandingan kuiz, slot  motivasi dan kuiz mingguan yang dijalankan sebanyak dua kali seminggu.


Pelaksanaan program ini diharapkan dapat membantu pelajar untuk memperkasa persediaan mereka dengan lebih terancang serta boleh menduduki peperiksaan dengan lebih yakin, seterusnya dapat meningkatkan prestasi subjek.










Monday, August 8, 2016

rajin & usaha tangga kejayaan!



Rajin & Usaha Tangga Kejayaan

Satu kata pujangga yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ringkas dan kedengarannya biasa-biasa saja tetapi jika diamalkan  maka keberkesananna memang terbukti. Ia umpama air menitis titis demi titis yang lama-kelamaan membentuk lubang takungan pada permukaan batu yang terkeras pun!
Andai saya tidak rajin dan berusaha, maka saya tidak akan berada di tempat sekarang. Begitu juga dengan anda, semuanya tidak mungkin bias berada pada tahap sekarang sekiranya bukan daripada kerajinan dan usaha sebelumnya.

Namun, mungkin anda sudah terleka dan terlupa untuk rajin berusaha? Adakah anda rajin berusaha membuat ulangkaji? Membuat nota-nota? Menjawab soaln-soalan tahun lepas? Membuat latihan kendiri? Membaca? Mengikuti perkembangan semasa duniawi?

Tepuk dada Tanya minda!


Tahap kerajinan dan usaha akan menentukan tahap kejayaan masing-masing. Semakin rajin berusaha maka semakin tinggi pencapaian kita. Ia seumpama mengasah segigih-gigihnya parang tumpul sehingga ia menjadi setajam pedang samurai!

Dalam konteks anda sebagai pelajar, kerajinan dan usaha bersungguh-sungguh amatlah kritikal untuk diamalkan. Apatah lagi untuk menghadapi peperiksaan semester demi semester.

Kepada semua pelajar senior yang baru-baru ini telah menerima keputusan peperiksaan Semester 2, pencapaian anda adalah petunjuk kepada tahap kerajinan dan usaha anda selama ini! Syabas dan tahniah!




Secara peribadi, saya ingin merakamkan penghargaan dan dorongan kepada semua pelajar Senior 4 STPM 2016 atas usaha anda selama ini! Teruskan usaha gigih anda! Bagi pelajar yang kurang bernasib baik keputusannya, masih belum begitu terlewat untuk memperbaikinya! Amalkanlah kerajinan dan usaha gigih dan bersungguh-sungguh!

Syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar Senior 4 STPM 2016 yang Berjaya mengekalkan gred yang baik atauun meningkatkan gred khususnya bagi subjek Pengajian Am dalam peperiksaan Penggal 2 lepas. Semoga insentif a.k.a. saguhati yang saya sampaikan menjadi pendorong untuk anda semua lebih rajin  dan gigih berusaha:

1.     Joana Johnny, Gred A & GPS: 4.00
2.     Odreyyen Jaunopoh, Gred A- & GPS 3.67
3.     Christy Cassandra George, Gred A- & GPS 3.67
4.     Ivan Peter Witus, Gred B & GPS 3.00
5.     Frederica Patrick, Gred B & GPS 3.00
6.     Fera Florynna Mourine, Gred B- & GPS 2.67
7.     Irma Nasip, Gred B- & GPS 2.67
Peperiksaan Penggal 2 STPM adalah sangat mencabar khususnya untuk subjek Pengajian Am, namun anda semua berjaya membuktikan bahawa itu bukanlah penghalang utama mencipta gred cemerlang bagi subjek ini. Teruskan usaha gigih anda.


Rajin dan Usaha Tangga Kejayaan!

Kombura Discovery
9.8.2016

Monday, June 30, 2014

Anjakan paradigma: PREUSS melangkah maju





Tambunan, 1 Julai 2014:- Kampus Prauniversiti SMK Tambunan sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memulakan pemakaian kasual bukan seragam dalam kalangan pelajarnya. Dalam ucapan awal sebelum itu, Penolong Kanan Tingkatan 6 Pn. Esther Linus menegaskan bahawa langkah berani ini adalah demi meningkatkan martabat dan motivasi pelajar prauniversiti. Tindakan yang selaras dengan arahan Kementerian Pelajaran Malaysia ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja oleh kalangan pelajar bahkan oleh para pensyarah prauniversiti kampus tersebut. Penguatkuasaan terhadap pemakaian tersebut dilaksanakan berlanjutan daripada galakan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip. Pengarah JPN Sabah telah merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Tambunan seminggu sebelum itu (25 Jun 2014). Dalam ucapannya, Datuk Jame Alip menegaskan agar arahan berkaitan pengurusan Tingkatan 6 dikuatkuasakan segera.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar En. Lary Charles dalam ucapan ulungnya turut menegaskan dan mengingatkan agar pelajar mengambil peluang tersebut untuk melonjakkan lagi kematangan diri, dan bukannya memperlihatkan 'kemajuan' imej luaran fizikal semata-mata. Pelajar perlu berusaha tekun untuk meningkatkan kemenjadian diri sendiri, meningkatkan kualiti peribadi agar bersedia menyahut cabaran global yang semakin mencabar.

Dalam pemerhatian, didapati bahawa lebih separuh daripada pelajar prauniversiti SMK Tambunan telah memakai pakaian kasual manakala selebihnya masih berpakaian seragam seperti sebelum ini. Kod dan etika pemakaian yang dibenarkan juga dipenuhi sebaik-baiknya oleh pelajar. Sungguhpun demikian, terdapat juga segelintir kecil pelajar yang tidak mengikut kod pemakaian namun didapati disebabkan oleh ketidakfahaman dan kekeliruan terhadap cara pemakaian tersebut.

Semoga langkah hebat seperti ini mampu melonjakkan keperibadian insan dalam kalangan pelajar prauniversiti khasnya dan seluruh warga sekolah SMK Tambunan amnya.

Pengetua: En. Ting Sien Kuan
PK1 (Perdana): En. Sofrie Anwar
PK2 (Perdana): En. Jaidi Karim
PK3 (Perdana): En. Yasimin Basir

Penolong Kanan T6 (Prauniversiti): Puan Esther Linus
Penolong Kanan HEP: En. Lary Charles
Penolong Kanan Kokurikulum: En. Clarence Joseph

MENJANA MODAL INSAN BERKUALITI


Kombura: Hubungan dan kerjasama dengan pihak luar perlu diperluaskan lagi demi menjadikan kampus prauniversiti sebagai institusi yang lebih berprestij tinggi.

Wednesday, June 18, 2014

universiti awam Malaysia turut gagal tersenarai dalam 100 universiti terbaik







Universiti di Malaysia tidak tersenarai dalam ranking Times Higher Education Asia University 2014, sekali lagi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia terkeluar daripada senarai itu pada tahun ini. Gambar fail The Malaysian Insider.
Kejatuhan Malaysia dalam ranking universiti awam global berterusan, kali ini dalam Times Higher Education Asia University 2014 yang dikeluarkan hari ini di mana tiada universiti tempatan masuk dalam senarai 100 terbaik.
Lima universiti yang masuk dalam senarai 10 universiti Asia terbaik adalah – Jepun, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China. India meningkat kedudukannya apabila 10 daripada institusinya masuk dalam senarai 100 terbaik berbanding hanya tiga tahun lalu.
Negara timur tengah seperti Iran, Israel, Lubnan, Arab Saudi dan Turki turut tersenarai.
Thailand turut berjaya, “tetapi tiada tempat bagi Malaysia”, yang dianggap oleh Times Higher Education sebagai negara Asia Tenggara yang mempunyai industri pengajian tinggi besar.
Universiti Kebangsaan Malaysia yang berada di tempat 87 tahun lalu terkeluar dalam senarai tahun ini.
Universiti Tokyo menjadi universiti Asia terbaik diikuti oleh Universiti Kebangsaan Singapura.
Universiti Hong Kong, Universiti Kebangsaan Seoul dan China Peking Universiti berada di tempat ketiga, keempat dan kelima.
Thailand mempunyai dua universiti yang masuk dalam senarai iaitu King Mongkut’s University of Technology, Thonburi yang naik lima anak tangga dan berada di kedudukan ke-50 dan Universiti Mahidol – jatuh 21 anak tangga ke tempat 82.
Singapura juga mempunyai dua universiti yang masuk dalam senarai iaitu NUS di tempat kedua dan Nanyang Technological Universiti di tempat ke-11.
Hong Kong dinamakan sebagai bintang oleh THE kerana walaupun bersaiz kecil tetapi mempunyai enam universiti dalam senarai 50 terbaik.
Pada April, universiti awam Malaysia turut gagal tersenarai dalam 100 universiti terbaik Times Higher Education bagi universiti di bawah 50 tahun.
Empat universiti Asia yang berjaya masuk dalam senarai 10 universiti “muda” terbaik dunia termasuk Pohang University of Science and Technology Korea Selatan yang mendapat tempat teratas, Hong Kong University of Science and Technology (4) dan Nanyang Technological University, Singapore (5).
Malaysia gagal untuk tersenarai bagi tahun kedua. Dalam ranking pertama pada 2012, Universiti Kebangsaan Malaysia berada di tempat ke-98.
Malaysia turut gagal tersenarai dalam ranking Reputasi Dunia Times Higher Education – yang dikeluarkan pada Mac, berada di belakang negara Asia Tenggara lain.
Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan kemerosotan kedudukan universiti awam di Malaysia bukan menggambarkan keseluruhan pencapaian universiti sebaliknya proses pembelajaran perlu diutamakan.
Menteri pendidikan II itu berkata, universiti awam di Malaysia masih dalam lingkungan usia yang muda dan pencapaian ditetapkan perlu berada pada tahap realistik.
"Ranking tidak menggambarkan segalanya tetapi kita boleh tingkatkan. Kita perlu realistik dalam mencapai kedudukan,” katanya.
Kegagalan demi kegagalan ini menyebabkan pihak pembangkang mengkritik kerajaan.
Kementerian Pendidikan menerima RM38.7 bilion pada 2013 dan ditingkatkan kepada RM54 bilion tahun ini, bajet terbesar yang pernah diterima dalam sejarah kementerian itu. – 19 Jun, 2014.
- See more at:http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/malaysia-gagal-lagi-masuk-senarai-100-universiti-awam-terbaik-asia#sthash.Hf5WqJjp.dpuf


Pre-university blog